Aspirasi giat bantu mangsa tanah runtuh

Bangi, 8 Jun – Aspirasi UKM dilihat bertungkus-lumus memperkasakan gerakan kampen  Tabung Bantuan Bencana Tanah Runtuh Rumah Anak Yatim Al Taqwa.

Kampen  Tabung Bantuan Bencana Tanah Runtuh Rumah Anak Yatim Al Taqwa yang dilancarkan pada 24 Mei yang lalu bertujuan untuk menyalurkan sedikit sebanyak bantuan kepada mangsa bencana tanah runtuh di Rumah Yatim Al-Taqwa, Hulu Langat. Inisiatif Aspirasi untuk membantu mangsa tanah runtuh tersebut telah mendapat sokongan dari pihak pentadbiran lalu mengeluarkan surat kebenaran untuk mengutip derma. Kempen tersebut bermula sejurus ianya dilancarkan dan dilaporkan berakhir pada 6 Jun yang lalu dan dijalankan secara meluas sehingga ke UKM kampus KL.

Sambutan yang memberangsangkan dari masyarakat UKM temasuk kakitangan UKM telah merancakkan lagi perjalanan kampen tersebut. Dengan kesungguhan untuk membantu mangsa bencana tanah runtuh itu, Aspirasi telah berjaya memungut kutipan sebanyak RM 614.75. dalam tempoh 24 Mei hinggalah 6 Jun dan ianya akan disalurkan terus untuk membantu anak-anak yatim yang ditimpa bencana.

Bencana tanah runtuh yang berlaku di rumah anak yatim al-Taqwa pada 21 Mei yang lalu telah melibatkan seramai 25 orang.  Kejadian tersebut telah  mengorbankan 16 orang dan hanya 9 sahaja yang dapat diselamatkan. Majoriti daripada mangsa yang sempat diselamatkan masih lagi dalam keadaan trauma dan ada diantara mereka yang kehilangan anggota badan akibat tertimbus dalam timbunan tanah runtuh

MPPK : Kerajaan Pilih Kasih

Bangi, 8 Jun – Kerajaan Malaysia yang merupakan penganjur kepada Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK)  didakwa membuat pilih kasih dalam mesyuarat tersebut. Ini kerana berlaku penindasan kepada kampus-kampus yang dikuasai oleh Pro-mahasiswa (Pro-M) dalam menyuarakan pandangan serta pendapat dalam sesuatu isu.

Ekoran daripada isu MPPK yang lepas, NadiUKM telah membuat soal jawab terhadap beberapa kampus baik kampus yang dimenangi Pro-M mahupun kampus-kampus yang dimenangi oleh Aspirasi bagi mendapatkan maklumat sebenar apa yang berlaku dalam MPPK yang lepas. Rata-rata respon mengatakan berlaku penindasan terhadap beberapa kampus yang dikuasai oleh Pro-M termasuk PMUKM dalam MPPK yang lepas.

“Sudah banyak kali kami bangun untuk menyuarakan pendapat, namun, Kerajaan seringkali memilih wakil dari kampus yang dikuasai oleh Aspirasi dan mengabaikan kampus kami serta kampus-kampus Pro-M yang lain. Dari sini, kita sudah jelas bahawa pihak kerajaan cuba untuk mengongkong kampus-kampus dari Pro-M untuk bersuara. Apa gunanya MPPK jikalau yang didengari hanyalah wakil dari Aspirasi, Lebih baik buat mesyuarat MPP Aspirasi saja. ” – tegas wakil Pro-M yang menghadiri MPPK.

Selain itu, dakwaan MPP Aspirasi UKM berhubung kegagalan PMUKM untuk menghasikan serta membentangkan kertas kerja jelas bercanggah dengan maklumat yang warawan NadiUKM terima dari kampus-kampus lain. Ini kerana, respon daripada kampus-kampus tersebut majoritinya mengatakan bahawa kertas kerja yang akan dibentangkan sebenarnya dipilih oleh pihak kerajaan. Antara kampus yang dipilih adalah USM ,UTM ,UMK, UPM dan UIA.

Selain itu, respon daripada PMUKM mengatakan bahawanya mereka ada menghantar kertas kerja Keusahawanan : Program Transformasi Ekonomi (ETP) kepada pihak kerajaan untuk disemak, namun begitu, kertas kerja tersebut tidak termasuk dalam senarai yang dipilih oleh pihak kerajaan. Justeru,  disini  jelas bahawa dakwaan MPP Aspirasi jauh tersasar daripada apa yang berlaku dalam MPPK yang lepas.

MPPK adalah satu persidangan diantara persatuan-persatuan mahasiswa induk di setiap universiti bagi menyuarakan pandangan mahupun pendapat berkaitan  isu-isu kritikal yang berlaku baik di peringkat Malaysia mahupun di peringkat antarabangsa

UKM Harap K’jaan Dapat Biayai Kos Alat Implan Koklear

PUTRAJAYA: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berharap kerajaan akan dapat menyediakan dana bernilai RM7 juta setahun bagi membiayai kos pembelian alat implan koklear untuk bayi-bayi yang dilahirkan dengan pekak teruk.

Secara purata 100 orang dilahirkan pekak setahun.

Ketua Program Implan Koklear Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Lokman Saim berkata, alat implan koklea itu yang bernilai RM70,000 setiap satu, merupakan jumlah yang amat besar untuk ditanggung oleh keluarga bayi-bayi berkenaan, lebih-lebih lagi mereka yang berpendapatan rendah mahupun sederhana.

“Sebagai kerajaan yang prihatin, saya yakin jumlah ini adalah kos efektif kerana kerajaan akhirnya tidak perlu lagi menyediakan sekolah khas cacat pendengaran dan guru-guru bahasa isyarat kerana kecacatan mereka telah dipulihkan melalui kaedah ini.

“Mereka juga dapat berkhidmat untuk negara seperti individu normal yang lain, walaupun dilahirkan dengan kecacatan pendengaran yang teruk,” katanya pada majlis sambutan ulang tahun ke 15 Program Implan Koklear dan ulang tahun ke 10 Pusat Tutur UKM di sini, Khamis.

Majlis itu dirasmikan oleh Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Tan Sri Dr Zulkifli A. Hassan, Naib Canselor UKM Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Budi Penyayang Malaysia Datuk Leela Ali.

Mohamed Khaled yang turut memberikan sokongan kuat terhadap permintaan itu berkata jika ia akhirnya dapat mengurangkan perbelanjaan kerajaan, maka tidak ada sebab ia tidak dapat dilaksanakan.

Bagaimanapun katanya, kajian perlu dilakukan supaya penjimatan dapat dibuat dalam bidang-bidang lain, dan jumlah yang dijimatkan itu boleh disalurkan untuk tujuan tersebut.

“Pertamanya perlu satu usaha untuk mengumpulkan maklumat dan sebagainya dan mungkin kita boleh kemukakan kepada Kementerian Kesihatan.

“Saya percaya apabila bercakap mengenai kesihatan ia bukan saja soal mengubat orang, pencegahan pun adalah satu kaedah yang diguna pakai dan saya percaya dalam soal ini, Kementerian Kesihatan akan turut memberi perhatian dan memikirkan cara yang terbaik,” katanya.

Sumber : mStar

MPPK : PMUKM gagal membawa nama UKM

Bangi, 6 Jun 2011 – Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM) di bawah pemerintahan Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) dilihat gagal membawa nama UKM dalam  Mesyuarat Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) yang lepas. Ini kerana PMUKM dilihat gagal dalam menyurakan pandangan mahupun pendapat dalam sesuatu isu, bahkan PMUKM kali ini juga gagal dalam membentangkan kertas kerja cadangan kepada kerajaan dalam menyelesaikan masalah yang berlaku

Secara umumnya, MPPK adalah satu persidangan diantara persatuan-persatuan mahasiswa induk di setiap universiti bagi menyuarakan pandangan mahupun pendapat berkaitan  isu-isu kritikal yang berlaku baik di peringkat Malaysia mahupun di peringkat antarabangsa. Pada kebiasaannya, dalam setiap mesyuarat MPPK yang diadakan, setiap kampus diminta untuk membentangkan kertas kerja cadangan kepada wakil kerajaan.

Dalam pada itu, pihak MPP Aspirasi di dalam blognya telah mendakwa bahawa Saudara Ahmad Muzamil Muhd Hairi gagal memimpin PMUKM dengan baik, malah telah menjatuhkan martabat UKM dalam mesyuarat tersebut. Tegas MPP Aspirasi lagi, PMUKM di bawah Saudara Muzamil langsung tiada pendirian, pandangan mahupun idea bernas dalam merespon isu-isu kritikal yang berlaku saban hari justeru mencemarkan kepercayaan yang diberikan oleh Mahasiswa UKM.

Selain itu, Saudara Kamal Ali yang merupakan pembentang kepada kertas kerja cadangan dalam MPPK yang lepas melahirkan rasa kecewanya terhadap PMUKM kali ini kerana tidak mengambil serius terhadap kertas kerja ini biarpun beliau telah pun bersedia untuk membantu dalam membangunkan kertas kerja cadangan tersebut.

Tindakan PMUKM selaku wakil kepada seluruh mahasiswa UKM sedikit sebanyak menjejaskan imej mahasiswa UKM justeru mendatangkan persepsi negatif terhadap masyarakat luar.

 

NadiUKM berdenyut kembali

Bangi, 6 Jun 2011 – Setelah hampir 3 bulan NadiUKM menyepi tanpa sebarang berita, kini NadiUKM tampil semula dengan semangat baru. Pihak NadiUKM memohon jutaan kemaafan kerana tidak dapat menyalurkan informasi terkini dalam tempoh itu. Ini adalah kerana admin pihak NadiUKM baru saja selesai atau dilepaskan dari soal siasat oleh pihak polis . Oleh itu, sepanjang kes disiasat, NadiUKM tidak dibenarkan mengeluarkan sebarang artikel bagi memudahkan proses siasatan.

Ia adalah berikutan isu penggodaman laman web utama NadiUKM. NadiUKM berasa terkilan dengan segelintir pihak yang cuba untuk menggodam dan cuba untuk mengeksploitasi NadiUKM untuk kepentingan kendiri. Oleh sebab itu, NadiUKM terpaksa meminta bantunan daripada pihak polis untuk mengenalpasti mereka-mereka yang terlibat dalam hal ini. , kini, siasatan pihak polis sudah hampir selesai dan kami di pihak crew NadiUKM hanya perlu menunggu keputusan daripada pihak polis berhubung dengan isu ini.Walaubagaimanapun, segala apa yang berlaku ini tidak langsung mematahkan semangat skuad NadiUKM untuk terus  menjadi media yang telus.

Kini, NadiUKM akan meneruskan agenda sebagai media saluran maklumat kepada warga UKM khususnya. NadiUKM berhasrat para pembaca dapat terus setia bersama kami. Komentar-komentar amat digalakkan biar dari sisi pandangan yang berbeza.  Pihak kami juga berharap semua pihak harus mengambil cakna dengan isu yang berada di sekeliling.

Debat Presiden : GMUKM VS ASPIRASI

Bangi, 15 Februari 2011 – Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM) sekali lagi akan dihangatkan dengan pertempuran debat antara Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) dan Aspirasi. Kedua-dua front tersebut merupakan antara front politik terbesar dalam kampus UKM. Maklumat debat adalah seperti berikut :

Program : Debat Ala Presiden

Tarikh      : 15 Februari 2011

Tempat    : Pusanika

Masa         : 8 Malam

Sebelum ini, pernah dianjurkan satu debat antara Aspirasi yang diwakili oleh Saudara Sarfarizmal  dan GMUKM yang diwakili oleh Saudara Hafiz berkaitan isu Sistem Penilaian Kopetensi Generik (SPKG) di Pusanika . Akan tetapi, disebabkan kegagalan Saudara Sarfarizmal untuk menampilkan diri, debat tersebut telah ditukar kepada debat terbuka. Setiap mahasiswa bebas untuk memberi hujah masing-masing berdasarkan apa yang difahami.

Namun, atas inisiatif Ikatan Studi Islam UKM (ISIUKM) , maka debat antara ASPIRASI dan GMUKM sekali lagi dianjurkan. Presiden ISIUKM, Saudara Nazri ketika ditemui wartawan NadiUKM berkata debat ini dilakukan bagi membolehkan mahasiswa UKM menilai dengan teliti kedua-dua parti politik di UKM.

‘ Pilihanraya Kampus Bersih, Kembalikan Autonomi Kampus ‘ telah dipilih sebagai tajuk debat ini. Kali ini, Saudara Kamal Ali akan menjadi wakil bagi Aspirasi dan Saudara Fariq Fitri pula akan menjadi wakil kepada GMUKM.

ISIUKM sebagai penganjur debat dikatakan akan menjadi moderator  bagi debat tersebut. Namun begitu berlaku pertindihan maklumat daripada penelitian wartawan NadiUKM di Facebook yang mengatakan Kaukus Siswa Melayu (Kaukus), satu identiti yang tidak dikenali mana-mana pihak muncul sebagai moderator tersebut.

Dengan ini, NadiUKM seru kepada seluruh mahasiswa untuk kita datang ke dataran Pusanika bagi menilai pandangan kedua-dua front terebut supaya Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM) akan datang mampu bergerak dengan lebih baik. -NadiUKM

 

 

PMUKM Bubar, Peraturan PRK diubahsuai

Bangi, 14 Februari 2011 – Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPP) telah sah pembubarannya hari ini . Ini dibuktikan dengan penampalan notis pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar yang telah dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pemilihan MPP (JMPP) yang dijumpai di setiap kampus pada awal pagi tadi.

Dalam notis tersebut juga dinyatakan beberapa perubahan yang akan dilakukan dalam Pilihanraya Kampus(PRK). Antara yang perubahan yang paling ketara adalah berkaitan dengan pembahagian kerusi.

Seperti yang dilaporkan dalam post NadiUKM yang lepas, kerusi untuk prasiswazah telah dikurangkan di beberapa fakulti. Fakulti-fakulti tersebut adalah

1) Fakulti Ekonomi & Perniagaan (FEP)

2) Fakulti Pendidikan (Fpend)

Antara perubahan lain pada pembahagian kerusi adalah penambahan satu kerusi bagi kerusi umum tahun 1 & 2 dan pengurangan kerusi bagi tahun 3 & 4 serta wujud 3 kerusi baru bagi mahasiswa pascasiswazah yang kini dipersoalkan oleh pihak GMUKM. Baca disini

Selain itu, maklumat yang diperolehi wartawan NadiUKM daripada staf Jabatan Perkhidmatan Pelajar (JPPel) melaporkan bahawa pengundian PRK kali ini tidak akan berlaku di fakulti seperti yang dicanang-canang oleh beberapa pihak atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Pengundian tetap akan dibuat di peringkat kolej.

“Kali ini, pembuangan undi akan dilakukan di peringkat kolej. Namun begitu, untuk memastikan PRK berjalan dengan lancar dan adil, Pengetua kolej bukan lagi dipilih sebagai ketua tempat mengundi, akan tetapi, ianya akan diuruskan oleh Timbalan Dekan dari setiap fakulti.” tegas beliau

Ini merupakan satu pembaharuan yang dilakukan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akedemik & Antarabangsa (HEAA) bagi memastikan PRK kali ini tidak lagi berlaku sebarang kekecohan.

Beliau ketika ditemui menyatakan hasrat beliau ingin menjalankan PRK dengan seadil mungkin serta tidak bias kepada mana-mana pihak. Katanya beliau akan cuba sedaya upaya untuk memastikan tidak ada kekecohan dan penyalahgunaan kuasa sepertimana yang sering berlaku pada PRK sebelum ini.

Harapan besar dari crew NadiUKM agar kedua-dua pihak dapat bertanding secara telus dan adil berdasarkan penilaian kepada kebolehan yang ditonjolkan oleh calon-calon yang dipertandingkan agar PMUKM yang akan datang dapat bergerak dengan lebih baik dalam menjaga hak-hak mahasiswa UKM. -NadiUKM

Wujud Calon Hantu Di Kursus Bakal Calon

Bangi, 11 Februari 2011 – Kursus Bakal Calon yang saja bermula malam semalam dilaporkan mempunyai segelintir mahasiswa yang diragui status tawarannya.

Ini kerana  jumlah mahasiswa yang menghadiri Kursus Bakal Calon melebihi borang yang dihantar di Jabatan Perkhidmatan Pelajar (JPPel).

Maklumat yang diterima oleh wartawan NadiUKM ketika bertemu dengan beberapa orang staf JPPel beberapa hari lepas menyatakan rasa hairan apabila mendapati jumlah surat tawaran yang dikeluarkan adalah lebih banyak daripada borang yang diterima oleh JPPel.

Hal ini telah diakui oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akedemik & Antarabangsa (HEAA), Prof. Ir. Dr. Hassan Basri berkaitan isu ini apabila mendapati beberapa surat tawaran yang diragui statusnya.

Selain itu, menurut maklumat yang diterima krew NadiUKM, semalam, masih lagi ada beberapa mahasiswa yang menghantar borang penyertaan kursus bakal calon atas beberapa alasan yang tidak dapat dielakkan. Namun begitu, atas belas kasih daripada pihak pengurusan kursus tersebut, mereka  masih lagi menerima borang tersebut dan terus mengeluarkan surat tawaran bagi meningkatkan lagi persaingan dalam Pilihanraya Kampus (PRK) yang bakal berlangsung.

Besar harapan dari pihak NadiUKM untuk melihat PRK kali ini tidak lagi berlaku sebarang kekacauan, penindasan dan suasana huru-hara yang sering berlaku saban tahun. Diharap PRK kali ini dapat berjalan dengan telus dan lancar supaya seluruh mahasiswa UKM dapat menilai dengan baik calon yang dipertandingkan. -NadiUKM