Debat Presiden : GMUKM VS ASPIRASI

Bangi, 15 Februari 2011 – Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM) sekali lagi akan dihangatkan dengan pertempuran debat antara Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) dan Aspirasi. Kedua-dua front tersebut merupakan antara front politik terbesar dalam kampus UKM. Maklumat debat adalah seperti berikut :

Program : Debat Ala Presiden

Tarikh      : 15 Februari 2011

Tempat    : Pusanika

Masa         : 8 Malam

Sebelum ini, pernah dianjurkan satu debat antara Aspirasi yang diwakili oleh Saudara Sarfarizmal  dan GMUKM yang diwakili oleh Saudara Hafiz berkaitan isu Sistem Penilaian Kopetensi Generik (SPKG) di Pusanika . Akan tetapi, disebabkan kegagalan Saudara Sarfarizmal untuk menampilkan diri, debat tersebut telah ditukar kepada debat terbuka. Setiap mahasiswa bebas untuk memberi hujah masing-masing berdasarkan apa yang difahami.

Namun, atas inisiatif Ikatan Studi Islam UKM (ISIUKM) , maka debat antara ASPIRASI dan GMUKM sekali lagi dianjurkan. Presiden ISIUKM, Saudara Nazri ketika ditemui wartawan NadiUKM berkata debat ini dilakukan bagi membolehkan mahasiswa UKM menilai dengan teliti kedua-dua parti politik di UKM.

‘ Pilihanraya Kampus Bersih, Kembalikan Autonomi Kampus ‘ telah dipilih sebagai tajuk debat ini. Kali ini, Saudara Kamal Ali akan menjadi wakil bagi Aspirasi dan Saudara Fariq Fitri pula akan menjadi wakil kepada GMUKM.

ISIUKM sebagai penganjur debat dikatakan akan menjadi moderator  bagi debat tersebut. Namun begitu berlaku pertindihan maklumat daripada penelitian wartawan NadiUKM di Facebook yang mengatakan Kaukus Siswa Melayu (Kaukus), satu identiti yang tidak dikenali mana-mana pihak muncul sebagai moderator tersebut.

Dengan ini, NadiUKM seru kepada seluruh mahasiswa untuk kita datang ke dataran Pusanika bagi menilai pandangan kedua-dua front terebut supaya Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM) akan datang mampu bergerak dengan lebih baik. -NadiUKM

 

 

PMUKM Bubar, Peraturan PRK diubahsuai

Bangi, 14 Februari 2011 – Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPP) telah sah pembubarannya hari ini . Ini dibuktikan dengan penampalan notis pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar yang telah dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pemilihan MPP (JMPP) yang dijumpai di setiap kampus pada awal pagi tadi.

Dalam notis tersebut juga dinyatakan beberapa perubahan yang akan dilakukan dalam Pilihanraya Kampus(PRK). Antara yang perubahan yang paling ketara adalah berkaitan dengan pembahagian kerusi.

Seperti yang dilaporkan dalam post NadiUKM yang lepas, kerusi untuk prasiswazah telah dikurangkan di beberapa fakulti. Fakulti-fakulti tersebut adalah

1) Fakulti Ekonomi & Perniagaan (FEP)

2) Fakulti Pendidikan (Fpend)

Antara perubahan lain pada pembahagian kerusi adalah penambahan satu kerusi bagi kerusi umum tahun 1 & 2 dan pengurangan kerusi bagi tahun 3 & 4 serta wujud 3 kerusi baru bagi mahasiswa pascasiswazah yang kini dipersoalkan oleh pihak GMUKM. Baca disini

Selain itu, maklumat yang diperolehi wartawan NadiUKM daripada staf Jabatan Perkhidmatan Pelajar (JPPel) melaporkan bahawa pengundian PRK kali ini tidak akan berlaku di fakulti seperti yang dicanang-canang oleh beberapa pihak atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Pengundian tetap akan dibuat di peringkat kolej.

“Kali ini, pembuangan undi akan dilakukan di peringkat kolej. Namun begitu, untuk memastikan PRK berjalan dengan lancar dan adil, Pengetua kolej bukan lagi dipilih sebagai ketua tempat mengundi, akan tetapi, ianya akan diuruskan oleh Timbalan Dekan dari setiap fakulti.” tegas beliau

Ini merupakan satu pembaharuan yang dilakukan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akedemik & Antarabangsa (HEAA) bagi memastikan PRK kali ini tidak lagi berlaku sebarang kekecohan.

Beliau ketika ditemui menyatakan hasrat beliau ingin menjalankan PRK dengan seadil mungkin serta tidak bias kepada mana-mana pihak. Katanya beliau akan cuba sedaya upaya untuk memastikan tidak ada kekecohan dan penyalahgunaan kuasa sepertimana yang sering berlaku pada PRK sebelum ini.

Harapan besar dari crew NadiUKM agar kedua-dua pihak dapat bertanding secara telus dan adil berdasarkan penilaian kepada kebolehan yang ditonjolkan oleh calon-calon yang dipertandingkan agar PMUKM yang akan datang dapat bergerak dengan lebih baik dalam menjaga hak-hak mahasiswa UKM. -NadiUKM

Wujud Calon Hantu Di Kursus Bakal Calon

Bangi, 11 Februari 2011 – Kursus Bakal Calon yang saja bermula malam semalam dilaporkan mempunyai segelintir mahasiswa yang diragui status tawarannya.

Ini kerana  jumlah mahasiswa yang menghadiri Kursus Bakal Calon melebihi borang yang dihantar di Jabatan Perkhidmatan Pelajar (JPPel).

Maklumat yang diterima oleh wartawan NadiUKM ketika bertemu dengan beberapa orang staf JPPel beberapa hari lepas menyatakan rasa hairan apabila mendapati jumlah surat tawaran yang dikeluarkan adalah lebih banyak daripada borang yang diterima oleh JPPel.

Hal ini telah diakui oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akedemik & Antarabangsa (HEAA), Prof. Ir. Dr. Hassan Basri berkaitan isu ini apabila mendapati beberapa surat tawaran yang diragui statusnya.

Selain itu, menurut maklumat yang diterima krew NadiUKM, semalam, masih lagi ada beberapa mahasiswa yang menghantar borang penyertaan kursus bakal calon atas beberapa alasan yang tidak dapat dielakkan. Namun begitu, atas belas kasih daripada pihak pengurusan kursus tersebut, mereka  masih lagi menerima borang tersebut dan terus mengeluarkan surat tawaran bagi meningkatkan lagi persaingan dalam Pilihanraya Kampus (PRK) yang bakal berlangsung.

Besar harapan dari pihak NadiUKM untuk melihat PRK kali ini tidak lagi berlaku sebarang kekacauan, penindasan dan suasana huru-hara yang sering berlaku saban tahun. Diharap PRK kali ini dapat berjalan dengan telus dan lancar supaya seluruh mahasiswa UKM dapat menilai dengan baik calon yang dipertandingkan. -NadiUKM

NadiUKM Diserang dan Digodam

Sejak kebelakangan ini, NadiUKM telah dimaklumkan oleh krew serta wartawan NadiUKM bahawa terdapat segelintir mahasiswa yang cuba untuk mengeksploitasi nama NadiUKM serta cuba untuk menjatuhkan kredabiliti NadiUKM sebagai media bebas dalam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Beberapa hari lepas, ada segelintir pihak mula menyerang pihak NadiUKM dengan cuba  meggodam email NadiUKM untuk kepentingan peribadi. Nadiukm telah menerima email daripada admin yahoo berkaitan ada cubaan untuk menceroboh email nadiukm sejurus selepas email NadiUKM di daftar masuk (log in).

Selain itu, terdapat percubaan daripada pihak-pihak tertentu yang cuba menjatuhkan kredabiliti NadiUKM dengan menggunakan nama NadiUKM demi kepentingan peribadi. Ini dilihat di dalam shoutbox blog-blog utama Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) dan blog utama Ikatan Studi Islam (ISIUKM)  dan beberapa blog pimpinan GMUKM dan ISIUKM dengan komen-komen fitnah.

Disebabkan penyalahgunaan nama NadiUKM di blog-blog tersebut, dengan ini NadiUKM mengistiharkan penghentian penggunaan nama NadiUKM di setiap  blog kecuali komen untuk menyebarkan berita mengenai post berita terkini NadiUKM.

Diharap pihak-pihak yang cuba untuk mennyerang dan menjatuhkan kredabiliti ini insaf dengan segala perbuatan yang dilakukan dan memohon maaf segera terhadap setiap tindakan yang dilakukan

Harap maklum

Ketua Editor NadiUKM

Pilihanraya Kampus : Universiti Perkenalkan Peraturan Baru

Kumpulan Pro-Mahasiswa (pro-M) di beberapa kampus “terkejut” dengan beberapa “peraturan baru” yang ditetapkan oleh pihak pentadbiran universiti menjelang pilihan raya kampus masing-masing yang dijadualkan berlangsung pada 21 dan 22 Februari ini.

Antaranya ialah dakwaan pengurangan kerusi umum, anggota Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) tidak dibenarkan menjadi calon, pencadang atau menyokong serta pelajar iajazah sarjana dibenarkan mengundi.

Pengerusi Pro-Mahasiswa (Pro-M) UPM Syed Syafiq Syed Hashim berkata dapat beberapa peraturan baru yang “memeranjatkan” itu diperkenalkan menjelang pilihan raya kampus berkenaan.

Ketika dihubungi Malaysiakini pagi ini, beliau berkata antaranya ialah pengurangan sembilan kerusi umum daripada 16 kerusi tahun lalu, menjadi tujuh kerusi umum yang dipertandingkan pada tahun ini.

“Berdasarkan peraturan, kerusi umum (yang dipertandingkan) perlulah separuh daripada kerusi fakulti,” katanya sambil menambah sebanyak 32 kerusi fakulti dipertandingkan tahun lalu.

Apatah lagi katanya, terdapat kerusi fakulti yang dipertandingkan pada tahun ini bertambah empat, menjadi 36 kerusi.

Empat kerusi tersebut adalah masing-masing dua kerusi di Sekolah Pengajian Siswazah Pengurusan dan Sekolah Pengajian Siswazah.

Sehubungan itu, Syed Shafiq berkata beliau bersama dua lagi wakil mahasiswa bertemu dengan Naib Canselor Datuk Dr Radin Umar Radin Sohadi kelmarin mendapatkan penjelasan berhubung peraturan baru tersebut.

Menurut Syed Syafiq, dalam pertemuan itu, Dr Radin Umar berkata pihak pentadbiran akan berbincang semula dengan merujuk peraturan yang ditetapkan sebelum ini dan jika benar bantahan tersebut, pihak pentadbiran universiti akan mengubahnya kembali kepada asal.

Mengulas mengenai dakwaanya bahawa terdapat arahan yang dikeluarkan oleh PALAPES UPM “menghalang” anggotanya menjadi calon, pencadang serta penyokong pencadang, Syed Syafiq berkata peraturan tersebut “tidak ada sebelum ini”.

Ini kerana katanya, terdapat seorang anggota PALAPES dari pro-Aspirasi pernah bertanding dalam pilihan raya tahun lalu dan pada kali ini, mereka “hanya dibenarkan” mengundi sahaja.

Sehubungan itu, pihaknya mendesak PALAPES segera menarik balik arah tersebut “agar proses demokrasi di kampus dapat berjalan sebaiknya”.

Sementara itu di UTM, jurucakap pro-M berkata pihak pentadbiran universiti kali ini membenarkan pelajar sarjana mengundi dalam pilihan raya kampus.

“Tahun lalu pelajar Master tidak dibenarkan (mengundi). (Tetapi) pada tahun ini ia telah diluluskan. Mereka dibenar mengundi, tetapi tak boleh menjadi calon.

“Sebelum ini tak ada (peraturan macam ni),” katanya yang enggan namanya didedahkan.

Bagaimanapun jurucakap itu berkata peraturan baru itu juga tidak menjejaskan kempen pro-M kerana kemungkinan “mereka akan menyokong kumpulan pro-M” demi mencapai kemenangan.

Manakala di UIA dan USM setakat ini, tidak ada perubahan atau peraturan baru yang “memeranjatkan” diperkenalkan oleh pihak pentadbiran universiti.

Jurucakap pro-M USM Mohd Hanif Alias bagaimanapun memberitahu Malaysiakini bahawa pihaknya “ada mendengar ura-ura” satu kerusi diberikan kepada pelajar Ijazah Sarjana untuk dipertandingkan.

Katanya, ura-ura tersebut masih dalam pertimbangan Dewan Senat USM dan “sebelum ini tidak ada pelajar Sarjana yang mengundi dan menjadi calon” dalam pilihan raya kampus berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, beberapa institusi pengajian tinggi awam (IPTA) utama akan melangsungkan pilihan raya kampus masing-masing pada 21 dan 22 Februari ini, manakala penamaan calon ditetapkan pada 16 dan 17 Februari.

Mahasiswa di empat universiti utama – Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Malaya (UM) – akan menjalankan proses pengundian serentak pada 21 Februari ini manakala penamaan calon pada 17 Februari ini.

Manakala mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dijadualkan mengundi pada 22 Februari ini dan penamaan calon pada 16 Januari ini.

Bagaimanapun Malaysiakini difahamkan pilihan raya kampus UKM dijadualkan berlangsung pada 21 Februari, manakala penamaan pada 16 Februari.

Tahun lalu, sebanyak 16 kerusi umum dan 32 kerusi fakulti dipertandingkan yang menyaksikan pro-M di kampus UPM menang tujuh kerusi umum dan empat kerusi fakulti.

Sementara, pro-M UIA memenangi 17 daripada 24 kerusi keseluruhannya manakala di USM, pro-M hanya memenangi tujuh kerusi daripada 33 kerusi – yang merangkumi satu kerusi umum dan enam kerusi fakulti.

Manakala pro-M UTM memenangi 18 daripada 51 kerusi yang dipertandingkan secara keseluruhannya.

Pada tahun ini, sebanyak 26 kerusi fakulti – bertambah dua kerusi – akan dipertandingkan di UIA. Sementara di USM, sebanyak enam kerusi umum dan 33 kerusi fakulti akan menjadi rebutan termasuk cawangannya di Kubang Kerian dan Nibong Tebal. – Malaysiakini

PMUKM Melancong Bazirkan Wang Mahasiswa

Bangi, 9 Februari 2011 –  Satu lagi tindakan melampau yang diambil oleh Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM) apabila didapati menghabiskan wang mahasiswa puluhan ribu ringgit semata-mata untuk melancong ke luar negara sepertimana tahun-tahun lepas.

Menurut sumber maklumat yang diterima NadiUKM beberapa hari lepas, PMUKM telah menganjurkan satu lawatan ke  Indonesia pada 29 Januari 2011 selama 4 hari. Lawatan itu dianjurkan dengan motif untuk membalas kembali lawatan yang diterima PMUKM daripada pelajar-pelajar indonesia pada beberapa bulan yang lepas. Maklumat yang diterima NadiUKM, seramai 15 orang Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang menyertai sesi lawatan tersebut. Tambahan mereka hanya perlu membawa diri sahaja tanpa perlu risau sebarang kos yang akan mereka hadapi.

Untuk maklumat semua mahasiswa, kewangan yang diperolehi oleh PMUKM adalah janaan hasil daripada duit setiap mahasiswa UKM. Setiap mahasiswa UKM akan diwajibkan untuk membayar RM 10 pada setiap tahun.

Seperti yang semua sedia maklum, lawatan ke luar negara  akan menelan satu kos yang amat tinggi sekalipun ianya dilakukan di Indonesia. Puluhan ribu ringgit akan melayang hanya dengan satu lawatan ke Indonesia, sedangkan timbunan masalah di UKM ini  hanya dilihat bagaikan sampah semata-mata tanpa mengambil peduli keadaan mahasiswa yang sering kali tertekan dengan masalah yang berbagai.

Di sini, Pihak NadiUKM paparkan anggaran kasar bagi kos penerbangan dan penempatan bedasarkan kos paling murah untuk kedua-duanya

  • RM 150 (harga promosi, air asia)  x 15 orang x 2 trip (pergi balik)  = RM 4500
  • RM 90 (hotel paling murah, 3 bingtang) x 15 x 3 malam = RM 4050

tambahan kos-kos lain seperti makanan dan perjalana, maka anggaran kasar baget adalah sekitar 120 000 ke atas. Ini merupakan satu jumlah yang amat besar

Respon daripada wakil persatuan anak negeri kedah yang ingin dirahsiakan namanya menyatakan kekesalan dan rasa kecewa ekoran tindakan PMUKM menggunakan duit mahasiswa demi kepentingan yang bersifat individualistik

“Saya rasa amat kesal dengan apa yang dilakukan oleh PMUKM kali ini. Mana boleh mereka dengan sewenang-wenangnya menggunakan duit PMUKM sesuka hati. Sepatutnya duit PMUKM haruslah dikembalikan dalam bentuk yang memberi manfaat kepada semua mahasiswa. Sekiranya PMUKM ingin buat lawatan juga, carilah duit sendiri sepertimana persatuan-persatuan lain.” jelas beliau

katanya lagi, tindakan ini dilihat berat sebelah oleh kerana persatuan-persatuan lain terpaksa bertungkus lumus mencari dana program sedangkan PMUKM begitu mudah menggunakan wang mahasiswa demi kepentingan peribadi. PMUKM sepatutnya lebih punyai peluang dan lebih mudah untuk mencari dana oleh kerana mereka sudah mempunyai hubungan dengan syarikat-syarikat besar. – NadiUKM

 

 

Happy Chinese New Year & Gong Xi Fa Cai

Krew NadiUKM dengan ini mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina & Gong Xi Fa Cai buat semua penghuni UKM terutamanya kepada mereka yang berbangsa Cina.  Moga tahun arnab ini akan membawa kebaikan serta perubahan ke arah kecemerlangan. All The Best !!!